Selasa, 5 Ogos 2008

Mensyukuri Nikmat Iman oleh Zainol Abideen













Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan tuan dan puan puan, saudara seagama dengan saya sekelian.

Do'a saya agar anda semua didalam keadaan sihat wal'afiat bersama ahli keluarga tercinta.

Bagi yang berseorangan, saya ingin memperingatkan anda bahawa anda tidak bersendirian sebenarnya.

Anda senantiasa didampingi Malaikat malaikat Allah, Raqib dan Atid Alaihis Salam. Allah Subhanahu Wa Ta'ala sendiri berfirman bahawa Ianya teramat hampir dengan kita, iaitu hanya sedo'a sahaja jarakNya dari kita.

Maka bergembira lah kamu wahai sahabat seagamaku. Allah Tuhan Semesta Alam sentiasa bersama kita dan amat menyayangi kita sebenarnya.

Jika Allah tidak menyayangi kita, Allah tidak akan membuang masa dengan mencipta kita ini.

Saudara saudari seIslam dengan saya.

Tajuk perbincangan saya kali ini adalah mengenai mensyukuri nikmat Iman.

Ingin saya menyampaikan kepada anda Do'a Bersyukur untuk kita sama sama mengamalkan do'a ini bila kita terasa keperluan bersyukur kepada Allah Azza Wa Jalla pada bila bila masa:

' Ya Rabbi lakal hamdu. Kama yanbaghii lija laali waj hika wa azhiimi sulthanik!'

maksudnya:

'Ya Tuhanku! bagi Engkaulah segala puji, sebagaimana mestinya demi keagungan WawasanMu dan demi kebesaran kekuasaan Mu!'

Yang membaca do'a ini akan dituliskan sebagaimana dia ucapkan nanti bila ia datang menghadap Allah sendiri akan langsung memberikan pahalanya.

Satu lagi Do'a Bersyukur yang molek dibaca selalu adalah:

'Allahumma maa ash baha bii; min ni'matin, au bi ahadin min khalqika, fa minka wahdaka, laa syariika laka, falakal hamdu wa la kasy syukru!'

maksudnya:

'Ya Tuhanku, apa yang ternyata menjadi nikmat buat diriku, atau buat siapa sahaja dari makhlukMu, itu adalah dari Hadhrat Mu semata Yang Tunggal tanpa sekutu, maka bagiMu segala pujaku dan bagiMu lah segala rasa syukur!'.

Barangsiapa yang membaca do'a ini pada waktu siang, seolah ia telah bersyukur pada Allah sepanjang waktu siang hari itu dan bagi mereka yang membacanya pada waktu malam, seolah ia bersyukur pada Allah sepanjang malam.

'Allahumma lakal hamdu syukran wa lakal mannu fadhlan!'

maksudnya:

'Ya Tuhanku! BagiMulah semua puja dan puji sebagai tanda bersyukur dan bagi Engkaulah segala kebajikan sebagai tanda kurniaMu.'

Tuan tuan dan puan puan, Muslimin dan Muslimat sekelian.

Nikmat hidup sebagai Muslim ini memang tak terhingga dan tak terkira betul.

Bayangkanlah kita hidup bertuhankan Allah Ar Rahman Ar Rahim, Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Kita diselamatkan Allah dari menyembah sebarang makhluk ciptaan Nya dan kita terselamat dari memuja dan memuji segala syaitan dan iblis laknatullah mahupun patung patung berhala buatan manusia seperti kita dan tidak perlu membakar colok, membakar kemenyan, menyapu abu ke dahi dan berlutut pada sebarang patung atau lukisan ciptaan orang.

Cara hidup kita dijamin bersih dan berhemah tinggi serta mulia.

Bayangkan tuan tuan dan puan puan semua.

Bila bangun dari tidur sahaja, kita ada peraturan yang ditetapkan oleh Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam.

Kita disarankan membaca Do'a Bangun Tidur.

'Alhamdulillah hillazi ahya naa ba'da maa amaatanaa wa ilaihi nusyuur'.

bermaksud:

'Alhamdulillah. Tuhan telah menghidupkan kita sesudah mati (tidur) dan kita bangun lagi untuk berbakti kepadaNya.'

Ada beza bangun kita dari bangunnya orang orang kafiir. Kita bersyukur kepada Allah yang teah menghidupkan kita kembali selepas kita tidak sedarkan diri, tertidur dan kembali ke alam ruh. Jasad kita masih bernyawa dengan Izin Allah. Manakala ruuh kita berawang awangan, masuk ke alam mimpi. Ini hakikat kehidupan kita saudara sekelian.

Bilamana kita bersyukur kepada Allah disaat sesudah bangun tidur, kita memulakan hari kita dengan ibadah. Do'a tadi adalah satu ibadah.

Insya Allah, dosa dosa kita terampun pada saat kita bertawadhuk kepada Ar Rahman.

Betapa beruntungnya manusia Muslim bila ia bersyukur kepada Tuhannya dan Tuhannya memberikan ia peruntukan rezeki bagi nya pada hari itu.

Bilamana seseorang Muslim itu memulakan paginya dengan zikir, bertasbih, bertahmid dan bertakbir, maka baginya akan diberikan Allahu Ta'ala segala macam rezeki dan dijauhkan segala macam mala petaka yang telah ditakdirkan baginya hari itu.

Saya berkata begini berdasarkan pengalaman saya sendiri dan sudah bermacam peristiwa yang terjadi didalam hidup saya sendiri membuatkan saya bertambah yakin dan percaya akan Rahmat Allah.

Segalanya berlaku dengan izin Allah! Bukankah begitu saudaraku sekelian?

Manakan berlaku sesuatu tanpa izin Allah?

Cukup lah Allah bagiku dan anda sekelian.

Mata dah mengantuk ni. Insya Allah akan saya sambung lagi bila berkesempatan.

Do'akan saya tuan tuan dan puan puan. Insya Allah.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamaualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

0 ulasan: