4 Perkara Asas untuk mendapatkan Ikhwan Allah.Bhgn ke 3
Hadith riwayat dari Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu bermaksud :
"Barangsiapa yang menyintai seseorang kerana Allah, dan membenci kerana Allah, berkawan kerana Allah dan bermusuhan demi Allah, Insya Allah akan dapat menjadi ikhwan Allah. Ikhwan bermakna 'sahabat'.
Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Alhamdulillah, di pagi Juma'at nan mulia ini ada kesempatan lagi untuk saya menyambung tulisan saya ini tentang bab berkawan kerana Allah.
Kita semua tahu maksud berkawan dan apa ertinya mempunyai kawan yang boleh membawa kita ke jalan kejayaan atau kehancuran.
Berkawan itu memang amat dipuji dan digalakkan oleh fitrah alami. Manusia yang tidak suka berkawan selalunya hidup didalam ruang yang sunyi sepi dan boleh menjurus kepada penyakit mental dan dilanda kemurungan.
Namun begitu, kita tidaklah boleh berkawan dengan sesiapa saja. Manusia adalah makhluk yang boleh berubah sikap dan sifatnya didalam sekelip mata. Manusia terdedah kepada hawa nafsu.
Tidak kira lah samada manusia itu seorang yang alim dan warak atau memang terkenal dengan kejahatannya. Hawa nafsu tidak mengenal agama, keturunan, pangkat dan bijak pandai atau dungu.
Orang yang kita sangka 'alim' boleh didalam sekelip mata berubah menjadi 'zalim'.
Sejarah manusia dari zaman Nabi Adam Alaihis salam sehingga ke saat dan ketika ini mencatatkan segala macam peristiwa dan kisah dimana kawan makan kawan dan yang disangka lawan beralih menjadi kawan yang teramat setia dan sanggup berkorban nyawa demi sahabatnya.
Berkawan kerana Allah adalah bagi kita yang Muslim ini harus mencari kawan yang boleh menambah kebaikan yang ada pada diri setiap dari kita ini dan kawan ini boleh membimbing kita semasa kita sedang buntu menghadapi sesuatu masaalah atau keadaan.
Kawan kita haruslah kita pilih dari kalangan orang yang baik baik dan berilmu agama dan duniawi. Kalau kita yang kurang ilmu berkawan dengan mereka yang berilmu, lambat laun akan dapat sedikit sebanyak kefahaman dari ilmu yang dimilikinya dan Insya Allah begitu juga dari kita sendiri.
Yang mana kita tahu, hendaklah kita mengajarnya kepada kawan kawan kita dan yang kita belum kenal, boleh kita bertanya kepada kawan kita itu.
Berkawan begini amat dituntut oleh Nabi kita , Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam kerana kita akan mendapat manfa'atnya.
Tuan tuan dan puan puan pasti ingat Hadith Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam yang termasyhur :
'Hendaklah kamu berkawan dengan penjual minyak wangi dan jauhilah tukang besi.
Kalau kamu tidak membeli wangian dagangan nya sekalipun, namun kamu akan dapat menikmati keharuman dagangannya tersebut.
Jika kamu berada disisi tukang besi, maka kamu akan dicemari asap dan menderita kepanasan ditempatnya.''
Hadith tersebut membawa maksud yang begitu terang bahawa kita perlu memilih kawan yang sesuai dengan kita. Penjual minyak wangi ibarat mereka yang berilmu dan ada kelebihan ilmu dan baik akhlaknya. Bilamana kita berdamping dengan orang sebegitu ikhlas kerana Allah Ta'ala, maka Insya Allah akan ada manfa'at bagi kita bersama.
Orang yang berilmu itu akan mendapat peluang berkongsi ilmu yang dimilikinya lantas dapat pahala mengajar. Kita sebagai penuntut atau pelajar dapat menambah ilmu kita dan seterusnya kita pula melebarkan ilmu tersebut kepada sahabat atau kawan kita yang lain. Kesinambungan ilmu. Semua mendapat pahala dan kebaikan dari bersahabat begitu.
Keadaan sebaliknya berlaku jika kita pergi bergaul dan berkawan dengan mereka yang jahat peribadinya, buruk akhlaknya, kotor tuturkata dan fikirannya. Rosak jiwa dan kosong ilmu agamanya serta kufur terhadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan keji perangai dan perbuatan perbuatannya.
Jika kita memilih untuk berdamping dan bergaul dengan kalangan manusia yang rosak dan keji seperti itu, apa hasilnya ? Lambat laun, kita sendiri akan berubah terikut ikut perangai, perbuatan, percakapan dan hancur jatidiri menjadi mereka yang dilaknati Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan dibenci oleh masyarakat dan diburu pihak berkuasa.
Bayangkan lah keadaan dimana, kita pergi ketempat sarang judi, arak dan maksiat. Kita bergaul dan berada disisi mereka yang engkar terhadap Allah dan tidak patuh terhadap undang undang negara serta terlibat pula dengan segala maksiat yang berlaku disitu. Tak senang duduk jadinya!
Tidak tenteram jiwa dan sanubarinya bilamana senantiasa diburu rasa penyesalan dan khuatir kerana bersalah baik disisi agama mahu pun undang undang negara.
Lihat sahaja wajah penjenayah, mana ada ketenangan yang terpancar akibat jiwa nya yang berasa resah dan gelisah diburu dosa dan sedar akan natijah segala onar yang dilakukannya? 'Raplah jingga'! kata orang utara. Masaalah sepanjang masa. :D
Walau anak seorang ulamak dan alim sekalipun, bilamana pihak berkuasa menyerbu dan menangkap penjenayah penjenayah tersebut, kita sendiri akan turut diberkas dan dihadapkan kemuka pengadilan! Nama kita akan tercemar dan ketika itu barulah beriya benar hendak menutup muka kerana malu diambil gambar oleh sang pemberita media massa.
Kenapa tidak malu terhadap Allah SWT dan para malaikatnya? Kita kan senantiasa dipantau oleh Rabbul Jalil? Malaikat Raqib dan Atid senantiasa mencatat dan merakam setiap niat, setiap perbuatan dan setiap buah fikiran kita setiap masa tanpa ada titik hentinya. Kita tidak boleh lari atau sembunyi dari pandangan Allah dan kehadiran para malaikat Allah.
Hanya kerana kita tidak dapat melihat Allah dan malaikatNya, tidak bermakna kita ini dapat berbuat sesuka hati kita dan berfikir bahawa kita sedang berseorangan. Kita sentiasa didalam 'candid camera' Allah.
Di hari Kiamat kelak, diulang tayang segala perlakuan kita keseluruh hadirin hadirat manusia di Padang Mahsyar! Siaran Langsung 360 darjah skrin terbesar yang tak terjangkau dek fikiran kita ini. Gali lah dari segala kitab kitab tentang ini.
Kawan yang berilmu pasti dapat berkongsi cerita tentang bab Yaum al Qiyamah ini dan dari kitab kitab Hadith Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam. Kat mana nak sembunyi muka kita ketika itu?
Ketika itu tak ada peluang nak 'bisa di atur' lagi. Segalanya akan berlaku secara teratur dan Hakim diatas Segala Hakim akan bersidang mengadili kita. Yakinlah. Ini janji Allah SWT!
Oleh itu wahai muslimin dan muslimat, pilih lah kawan kita dengan cermat. Jangan ambil mudah bab berkawan ini. Jika anda seorang yang berilmu dan faham cara cara membimbing seseorang kearah pintu taubat dan dapat memberikan nasihat yang berguna serta berupaya merubah sikap dan keadaan seseorang itu yang sedang hanyut dengan dunia hawa nafsunya, maka boleh lah anda berdakwah kepada golongan sebegitu dengan menggunakan hikmah dan kebijaksanaan anda.
Amat besar pahala dan manfa'at yang akan anda perolehi jika anda ikhlas berdakwah kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Jangan jadi seperti gunting dalam lipatan atau mengambil kesempatan diatas kejahilan orang. Jangan jadi seperti ' harapkan pagar ; pagar yang memakan padi' serta khianat terhadap kawan.
Setiap perbuatan kita pasti ada pembalasannya. Sekarang ini kita lihat pelbagai macam perkara yang berlaku depan mata kita. Allah SWT telah sedia memberi amaran kepada kita agar tidak berlaku serong terhadap mereka yang mempercayai kita dan menyerahkan hartabenda dan milik mereka untuk kita menjaga keselamatannya. Jangan lah kita gelap mata atau terpedaya dengan ajakan dan gelora hawa nafsu mencemar kepercayaan tersebut.
Usia kita semakin lama semakin meningkat dan kita perlu menjaga setiap perbuatan kita agar tidak menambah dosa dosa kita yang Wallahu 'alam terampun ke tidak dengan amalan kita yang serba sedikit.
Jangan memperjudikan masadepan kita untuk sekelumit harta dunia yang sementara ini.
Saya berhenti setakat ini dahulu tentang bab berkawan kerana Allah kerana ada urusan duniawi yang perlu saya selesaikan. Insya Allah akan saya sambung nanti.
Selamat bersolat Juma'at nanti. Pelihara lah kemurniaan solat ini. Usah berkata kata dengan kawan ketika khatib sedang membaca atau berkhutbah. Teliti akan maksud isi khutbah dan awalkan lah hadir kemasjid terdekat anda. Insya Allah.
Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.
Ulasan