Imam dan Khatib perlu bermuzakarah dgn jamaah selepas solat





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semoga tuan tuan dan puan puan berkeadaan sihat sejahtera bersama ahli keluarga nan tercinta. Amin Ya Rabbal Alamin.

Hari ini, saya hendak menyentuh tentang keperluan para Imam dan Khatib meluangkan masa barang setengah jam ke apa selepas setiap solat fardhu berjamaah dan juga solat Jumaat, untuk memberi peluang para jamaah bertanya lebih lanjut tentang sebarang kemusykilan agama atau hal hal bersangkutan dengan tajuk khutbah Jumaat.

Bukan lah cadangan ini bertujuan mengadakan satu perkara baru didalam beragama namun keadaan umat Islam masakini memerlukan pendekatan baru menangani gejala kejahilan Ummah didalam mengharungi desakan desakan dan cabaran kehidupan didunia serba mencabar sejak kebelakangan ini.

Ramai diantara kita yang kurang faham dan tidak jelas tentang hukum hakam Agama Islam dan hidup ikut suka hati mereka sahaja tanpa mempedulikan soal halal, haram, wajib, sunat, makruh dan sebagainya.

Kita dapat melihat pelbagai kepincangan akhlak dan keruntuhan moral berlaku didepan mata kita namun saban hari , saban waktu, segala kepimpinan agama seolah letih dan lesu menghadapi keadaan ini dan para ulamak dan institusi Imam berkeadaan tidak mampu merubah keadaan.

Saya cadangkan para Imam dan Khatib menjalankan peranan mereka secara lebih proaktif dengan mengadakan sesi muzakarah diantara mereka dan para jamaah yang memerlukan penjelasan lebih lanjut atau tunjuk ajar bagaimana untuk menangani masaalah diri, keluarga dan masyarakat secara berbincang mengenai apa sahaja yang menyusahkan mereka.

Para Imam dan Khatib tidak boleh menganggap tugas mereka sekadar memimpin solat berjamaah dan membaca khutbah Jumaat sahaja!

Islam memerlukan para ulamak dan pewaris Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam berperanan sebagai penasihat dan penyeru kepada umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan keluar dari kerangka fahaman politik yang sempit dan tunduk dibawah arahan pihak berkuasa yang berkepentingan menyempitkan tugas dan peranan sebenar para Imam dan Khatib didalam memimpin Ummah!

Para Imam dan Khatib harus sedar bahawa mereka akan disoal oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala diatas kealpaan mereka membimbing ummah ini dan dipertanggungjawabkan keatas segala kepincangan masyarakat yang sedang berleluasa didepan mata mereka!

Seorang Muslim wajib takut dan ta'at kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan bukan tunduk menggigl ketakutan terhadap ancaman dan gertakan sesama makhluk dengan nya!

Kita ini hidup dan mati dengan izin Allahu Akbar! Apakah kita ini bilamana mati nanti akan berhadapan dengan Maha Pencipta atau sang pemuka yang engkar terhadap suruhan Allah?

Ayuh! Bangkitlah wahai Imam dan Khatib semua. Kembalilah kepada peranan sebenarnya diri tuan tuan semua dan pimpinlah umat ini yang memerlukan tunjuk ajar dari anda semua.

Setakat hendak membaca khutbah dan memimpin solat atau berdoa sahaja, tidak cukup untuk menyelesaikan segala masaalah ummah dan anggota masyarakat!

Para ulamak mesti keluar dari kepompong kejumudan minda dan berani bertanggungjawab terhadap segala kepincangan masyarakat dimana mereka adalah ketua urusan agama di daerah kariah masjid dan surau masing masing!

Masyarakat Melayu dan Muslim perlukan bimbingan anda semua. Usah lagi memberi seribu satu alasan bahawa ianya bukan didalam bidang kuasa anda.

Anda sebagai Imam dan Khatib bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku didalam jajahan kuasa dan tanggungjawab masing masing .

Pihak Jabatan Agama Islam diseluruh negara wajib bangun membimbing Ummah ini dan membanteras maksiat yang sedang merebak merusakkan segenap pelusuk tanahair kita ini!

Takut pada Allah. Hormat sesama manusia. Bimbing lah mereka yang memerlukan anda!

Semoga para Imam dan Khatib seluruh negara akan sahut cadangan saya ini untuk mengadakan sesi muzakarah bersama para jamaah selepas setiap solat Jumaat dan fardhu mengikut keperluan kariah masing masing. Anda boleh melakukan nya!

Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih. Usah membiarkan masyarakat kita ini punah ranah dan hancur musnah gara gara takut merubah keadaan demi sesuap nasi kerana lupa kepada tugas dan tanggungjawab terhadap insan insan biasa sesama Islam dengan anda!

Satu lagi perkara yang saya rasa perlukan perhatian Tuan tuan Imam dan Khatib seluruh negara.

Cubalah bawa bersenyum semasa bertemu jamaah. Apakah susah benar hendak bermesra dengan sesama Muslim?

Tuan tuan semua mesti ingat sunnah Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam supaya senantiasa tersenyum, menunjukkan sikap mesra sesama insan?

Senyum itu adalah sedekah dan Tuan tuan semua selaku pemimpin Ummah wajib mengamalkan Sunnah semudah ini. Kalau kurang puntung gigi itu, boleh lah rajin rajin berjumpa doktor gigi. Susah susah sangat ha...kami para jamaah sanggup membiayai kos pemasangan gigi palsu Tok tok Imam dan Tuan Khatib.

Bisa di atur. Tanggung beres. :D Semoga dapat perhatian Tuan tuan Imam dan Khatib khatib sekelian. InsyaAllah!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah. Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Talqin - Baca'an didalam Bahasa Melayu

"Minah Tudung" tapi berperangai macam jahiliyah dsbnya!

Mensyukuri Nikmat Iman oleh Zainol Abideen